Thursday, March 18, 2010

16 Sept: Zahrain dakwa diberitahu 8 MP akan lompat

Mar 18, 10 8:22pm
Ahli Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim mendakwa beliau dan wakil rakyat PKR diberitahu bahawa lapan ahli Parlimen disebut-sebut akan melompat menyertai PKR bagi menjayakan rancangan pembangkang untuk mengambil alih kerajaan pusat pada 16 September 2008.

Beliau mendakwa mereka Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh (BN-Kalabakan), Datuk Seri Anifah Aman (BN-Kimanis), Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan), Datuk Chua Soon Bui (Bebas-Tawau), Datuk Eric Majimbun (Bebas-Sepanggar).

Nama lain yang disebut ialah Dr Mohd Puad Zarkashi (BN-Batu Pahat), Datuk Seri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar (BN-Jerantut), Tengku Razaleigh Hamzah (BN-Gua Musang), katanya menyambung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Zahrain juga mendakwa seorang timbalan speaker juga dikatakan akan menyertai PKR.

Kenyataan itu menyebabkan timbalan speaker Dewan Rakyat Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mencelah bertanya "Timbalan Speaker yang mana (Zahrain maksudkan)?" menyebabkan Dewan diselubungi gelak ketawa ahli Parlimen.

Semalam, tindakan Zahrain mendedahkan kepincangan PKR dan pakatan pembangkang yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim menyebabkan ketua pembangkang itu bertindak keluar dewan.

Zahrain berkata beliau yakin tindakannya keluar parti adalah tindakan tepat kerana tidak mahu sejarah menghukumnya kerana tidak berbuat apa-apa ketika perjuangan PKR dan pakatan pembangkang semakin terpesong menjadi perjuangan peribadi yang sempit.

Sementara itu, Zahrain menafikan beliau adalah "askar upahan" Umno dan BN berikutan kelantangannya ketika ini berbanding semasa bersama PKR dahulu.

Beliau berkata sekiranya beliau bersifat vokal seperti ini sebelumnya sudah tentu keadaan dalam PKR akan menjadi kelam kabut.

"Kalau saya bising macam ini, keadaan jadi kelam-kabut," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Dakwaan itu timbul apabila semalam, beliau secara lantang dan terbuka mendedahkan pembohongan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap ahli Parlimen pakatan pembangkang yang mendakwa mereka mempunyai jumlah sokongan yang mencukupi daripada ahli parlimen BN bagi membentuk kerajaan pada 16 September 2008.

Zahrain juga mendedahkan bahawa pada masa itu beliau percaya yang perkara itu adalah benar memandangkan Anwar mengatakan pelan tersebut telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Berikutan pendedahannya itu, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution menggelarkan beliau sebagai "Attack Dog" kepada BN dan Umno untuk menjatuhkan pakatan pembangkang.

Saifuddin mendakwa Zahrain dijadikan sebagai watak baru untuk menyerang pakatan pembangkang dan sifatnya ini adalah berbeza berbanding ketika bersama-sama PKR dahulu.

- Bernama

Sunday, January 24, 2010

Polis naik pentas hentikan ceramah Anwar

Siri ceramah Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kampung Kerinci malam tadi kecoh ekoran polis bertindak menaiki pentas untuk memberhentikan ceramah tersebut.

Polis yang diketuai oleh Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid bersama-sama beberapa anggotanya bertindak menaiki pentas ceramah itu di Blok L Flat PKNS Kampung Kerinci meminta ketua pembangkang itu berhenti menyampaikan ceramah.

Kejadian itu berlaku kira-kira jam 11.35 malam, selepas setengah jam Anwar yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh memulakan ceramahnya.

Kejadian tersebut disaksikan kira-kira 500 hadirin yang hadir di situ sejak jam 8.30 malam.

Ketika itu Anwar sedang mengulas mengenai pertuduhan liwat terhadapnya serta usaha beliau mendedahkan isu-isu antaranya seperti pembelian kapal selam, kematian Teoh Beng Hock dan kehilangan enjin Jet.

"Sebab itulah tema ceramah saya bulan ini adalah 'Selamatkan Malaysia'," katanya.

Tiba-tiba beliau terdengar teriakan daripada hadirin "Polis datang", lantas Anwar yang menyedari kehadiran polis berkata: "Tak apa, tak apa serahkan saya."

Selepas itu kelihatan Wan Abdul Bari bersama beberapa anggotanya menaiki pentas meminta Anwar menghentikan ceramahnya menyebabkan para penyokong dan pengawal peribadinya mengerumumi beliau.

Kedengaran juga teriakan daripada hadirin dan penyokong membantah tindakan polis itu.

Keadaan menjadi lebih tegang apabila Anwar cuba untuk mengakhiri ceramah dengan bacaan doa tetapi tidak dibenarkan oleh polis.

Selepas itu kelihatan Anwar bertegang urat Wan Abdul Bari. Namun tidak dapat dipastikan apa yang diperselisihkan pada waktu tersebut.

Kekecohan itu berlaku selama 10 minit di atas pentas tersebut.

Ekoran itu, majlis tersebut terpaksa dihentikan dan para penyokongnya membawa ketua pembangkang itu ke dalam sebuah rumah yang terletak bersebelahan dengan pentas tersebut.

Kemudiannya para penyokong Pakatan Rakyat pula berteriak dengan menyuruh pihak polis yang masih berada di pentas supaya beredar dari situ.

Pihak urusetia juga bertindak menutup lampu dipentas tersebut, menyebabkan para penyokong bersorak dan melaungkan 'Reformasi' kepada beberapa kali kepada anggota polis yang masih berada di atas pentas.

Sementara itu Wan Abdul Bari ketika ditemui pemberita selepas kejadian tersebut berkata pihaknya terpaksa memberhentikan ceramah tersebut kerana "ucapannya tidak selaras dengan program mesra rakyat".

"Ia adalah program perjumpaan dengan rakyat. Pada peringkat awalnya, okay, tetapi bila beliau (Anwar) hadir, ucapan-ucapannya lebih berunsurkan politik yang tidak selaras dengan program mesra rakyat, jadi kita terpaksa memberhentikannya," katanya.

Sementara itu ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar yang turut berceramah ditemui pemberita mengecam tindakan polis naik ke atas pentas.

Mahfuz yang juga naib presiden PAS berkata tindakan polis itu pentas adalah "tidak wajar".

Ini kerana katanya tindakan itu "tidak menampakkan profesionalisme" dan "mengundang keadaan yang lebih kecoh".

Bagaimanapun beliau tidak mengetahui apa yang diperselisihkan oleh Anwar dan Wan Abdul Bari kerana pada waktu itu beliau berada jauh dari pentas sewaktu dikerumuni oleh para penyokong bekas timbalan perdana menteri itu.

Manakala ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar turut mengecam polis tindakan polis tersebut.

Nurul Izzah yang juga anak sulung ketua pembangkang itu berkata polis harus menunjukkan profesionalisme mereka, lebih-lebih lagi di hadapan khalayak ramai.

Beliau juga menjelaskan pihak urusetia juga memohon permit untuk mengadakan ceramah tersebut tetapi tidak diberikan.

Beliau juga berkata urusetia turut memohon dewan berdekatan dengan flat tersebut tetapi tidak dibenarkan untuk menggunakannya.

Sebelum itu, sepanjang pemerhatian Malaysiakini, terdapat dua sekatan polis diadakan sebelum majlis ceramah itu bermula.

Sekatan yang pertama dari arah Universiti Malaya (UM) menuju ke tempat ceramah tersebut iaitu betul-betul di hadapan Pangsapuri Vista Angkasa,

Sekatan itu dibuat kira-kira 50 meter dari tempat ceramah itu diadakan, manakala satu lagi sekatan dibuat dari arah Pantai Dalam, kira-kira 400 meter dari tempat ceramah itu diadakan.

Lebih 30 anggota polis termasuk Unit Simpanan Persekutuan (FRU) kelihatan di tempat ceramah tersebut.

Saturday, January 16, 2010

Sebuah lagi gereja di Seremban jadi sasaran

Sebuah lagi gereja di Seremban - Gereja Grace Global Prayer - menjadi sasaran apabila kaca sebuah tingkapnya dipecahkan.

Ia merupakan rumah ibadat di Seremban yang disasarkan - selepas Gereja Sidang Injil Borneo yang pintunya terbakar akibat perbuatan orang yang tidak dikenali.

Menurut laporan, insiden di Gereja Grace Global Prayer yang terletak di Rasah itu, berlaku antara jam 6 petang Khamis dan petang Jumaat, ketika gereja itu kosong.

Kejadian itu disedari oleh anggota Gereja Grace Global Prayer - yang terletak di sudut barisan rumah kedai dua tingkat - yang tiba untuk bersembahyang dan mendapati kaca sebuah tingkapnya pecah.

Ahli parlimen DAP bagi Rasah Anthony Loke dan ADUN Rahang MK Arumugam mengunjungi tempat kejadian itu malam tadi.

Ia merupakan gereja ke-12 yang menjadi sasaran ekoran keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan mingguan Katholik, Herald, menggunakan perkataan Allah dalam bahagian bahasa Malaysianya.