Monday, December 28, 2009

Tekankan dua prinsip, demi BN kekal relevan

Barisan Nasional (BN) sebagai tunjang utama kepada kerajaan yang memerintah negara ini perlu berpegang kepada dua prinsip
iaitu sentiasa berpandangan jauh ke hadapan dan mengutamakan kehendak serta keperluan rakyat melalui sistem penyampaian yang lebih berkesan, kata perdana menteri.

Datuk Seri Najib Razak berkata untuk menjadi kerajaan yang lebih baik, BN tidak seharusnya menoleh ke belakang sebaliknya perlu melihat apa yang harus BN buat untuk rakyat hari ini dan pada masa hadapan.

"Tidak dinafikan BN banyak sumbangan kepada rakyat sebelum ini, tapi dengan meningkatnya tahap pendidikan rakyat melalui pembangunan prasarana pendidikan yang dibangunkan oleh BN, rakyat mahu melihat apa yang akan kita (BN) buat hari ini dan masa akan datang," katanya pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Tritahunan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) di Kuching hari ini.

Beliau berkata perubahan dalam senario politik negara turut mengubah cara rakyat negara ini berfikir sekaligus mendorong BN untuk menjadi sebuah parti yang lebih dinamik sejajar dengan kehendak semasa rakyat.

Katanya rakyat hari ini akan menjadi penentu hala tuju BN pada masa hadapan dan bukannya kepada pencapaian yang telah diperolehi pada masa lampau.

Prinsip kedua, kata Najib, memastikan sistem penyampaian kerajaan BN betul-betul berkesan dan sampai kepada kehendak dan keperluan rakyat di semua peringkat.

Beliau, yang juga pengerusi BN, berkata kerajaan BN dianggap sebagai kalah dalam pilihan raya walaupun pada dasarnya mereka menang jika anggotanya gagal melaksanakan apa yang telah diamanahkan oleh rakyat.

"Pembangkang tidak akan menang, tapi kita (BN) kalah pilihan raya jika gagal melaksanakan tugas dan amanah yang telah diberikan oleh rakyat kepada," katanya.

Katanya, 1Malaysia bukannya slogan tapi ia merupakan satu asas kepada dasar yang lebih adil serta penekanan kepada sistem nilai yang lebih baik dalam setiap sistem penyampaian kerajaan BN.

Najib berkata rakyat akan menjadi penilai terakhir kepada apa yang BN buat di bawah amalan 'rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan'.

Dalam dalam itu, Najib mahu menjadikan tahun 2010 sebagai tahun pencapaian yang lebih baik kepada BN dengan harapan semua anggota BN peringkat pusat dan negeri bersama-sama turun padang membantu rakyat.

Katanya, masalah utama iaitu pelaksanaan kepada segala dasar dan perancangan kerajaan perlu diambil perhatian oleh semua anggota BN agar ia sampai kepada rakyat.

"Saya meletakkan azam tahun 2010 sebagai tahun prestasi yang lebih baik BN," katanya.

Najib berkata BN sebagai tunjang utama kepada kerajaan juga akan memastikan segala peruntukan yang disalurkan oleh kerajaan pusat kepada kerajaan negeri dapat digunakan sepenuhnya selain berharap pihak kerajaan negeri memberi kerjasama menyelesaikan segala masalah pembangunan di peringkat negeri masing-masing.

Beliau turut menegaskan parti komponen BN tidak kira kecil mahupun besar termasuk SPDP yang menunjukkan prestasi cemerlang pada pilihan raya umum dan negeri yang lalu akan sentiasa diberi perhatian berat selain harapan agar prestasi tersebut dikekalkan pada masa akan datang. --- LAGI

Wednesday, December 16, 2009

Sudah ada pengganti saya: Nik Aziz

eksklusif Berdasarkan hirarki parti dan pentadbiran kerajaan Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dianggap pelapis nombor satu kepemimpinannya, kata Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Ahmad-lah. (Beliau) itu pelapis nombor satu. Orang boleh terima atau tidak (kepemimpinan) dia, wallahu a'lam. Tetapi saya sekarang ini letak dia sebagai timbalan nombor satu," kata menteri besar Kelantan kepada Malaysiakini.

"Dan tugas saya sekarang ini, saya serah pada dia. Tugas pentadbiran negeri banyak saya serah padanya."

Nik Abdul Aziz mengulas isu penggantinya setelah muncul pelbagai spekulasi berhubung perkara itu susulan cadangan exco kerajaan negeri Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah supaya “pelan peralihan kuasa” diumumkan.

Selain Ahmad, Nik Mohd Amar sendiri turut disebut-sebut mengisi jawatan itu apabila beliau dibawa bertanding di peringkat DUN dalam pilihan raya umum 2004.

Seorang lagi calon yang dispekulasikan, exco kanan kerajaan Datuk Husam Musa, bekas setiausaha menteri besar itu yang dianggap anak didik Nik Abdul Aziz.

Ketiga-tiga Husam, Nik Mohd Amar dan Ahmad timbalan pesuruhjaya PAS negeri.

Ditemui di pejabatnya di Kota Bharu, Nik Aziz berkata, berdasarkan hirarki tersebut, beliau tidak memerlukan satu pelan peralihan kuasa yang khusus kerana penggantinya akan dipilih secara automatik berdasarkan kekananan jawatan.

"(Secara) automatiklah. Automatik cara parti. Betul ke begitu, wallahu a'lam. Tetapi persiapan payung itu ada. Bila hujan, kita ada payung.

"Hendak pakai payung atau pergi begitu sahaja, terpulanglah," jelasnya, Khamis lalu.

Beliau, yang juga mursyidul am PAS, menambah, dalam masa terdekat ini, tiada sebarang peralihan akan dibuat kerana tiada tuntutan daripada parti itu.

"Orang PAS tidak ada (desak peralihan kuasa). Tengoklah, di tepi-tepi jalan, (orang berdemonstrasi sebut) 'jangan kacau Tok Guru'," katanya, merujuk demonstrasi besar menyokong kepimpinannya, 4 Disember lalu.

Tambahnya, hanya masalah kesihatannya – yang sering mendapat rawatan – dan arahan parti sahaja yang boleh membuatkannya, kini 78 tahun, berundur daripada jawatannya.

"Selagi PAS terima saya, saya berkhidmat. (Kalau) PAS kata, 'petang ini, berhentilah Tok Guru', saya berhenti terus," kata Nik Abdul Aziz.

Sunday, December 13, 2009

PKFZ: Bekas pengurus projek didakwa

Individu keempat yang didakwa di Mahkamah Sesyen Klang hari ini berhubung skandal Zon Bebas Pelabuhan Kelang (PKFZ) ialah Law Jenn Dong - bekas pengurus projek Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) - kontraktor utama PKFZ - selepas tiga orang dituduh Khamis lalu.

Law dituduh membuat 24 tuduhan Palsu melibatkan sejumlah RM116.850 juta.

Dia tidak mengaku bersalah di hadapan Hakim Judge Yong Zarida Sazali.

Law didakwa melakukan kesalahan dengan arkitek Bernard Tan Seng Swee dari firma BTA Architect.

Tan dihadapkan ke mahkamah tersebut minggu lalu bersama bekas pengurus besar Lembaga Pelabuhan Klang (PKA) Datin Paduka OC Phang dan pegawai ketua operasi KDSB Steven Abok.

Timbalan pendakwaraya (DPP) Dzulkifli Ahmad dan Manoj Kurup melakukan pendakwaan.

Manakala Law diwakili oleh peguam Tan Hock Chuan.

NASIONAL MB harap krisis Perak berakhir

LONDON: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berharap semua pihak yang terbabit dalam krisis perlembagaan di negeri itu melihat untuk membangunkan pertumbuhan ekonomi negeri daripada berterusan menimbul isu yang sama berulang kali.

Katanya, ekonomi negeri perlu distruktur dan dikembalikan semula statusnya yang gemilang suatu ketika dulu daripada berterusan berbahas mengenai isu.

“Ramai rakyat Perak berpendapat ahli politik tidak perlu lagi membangkitkan isu dan kita mesti melihat dengan bersungguh-sungguh untuk membetulkan perkara yang lepas sekiranya kita mahu membetulkan tanggapan,” katanya kepada pelajar Malaysia di United Kingdon semasa perjumpaan di King College London di sini kelmarin.